Desatera Lancar Buffet RM10 by Dapur Brahim’s
Desatera Sdn. Bhd. telah melancarkan Buffet RM10 by Dapur Brahim’s di Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 23 Jun 2026. Majlis pelancaran ini telah dihadiri oleh Group Managing Director Brahim’s Dewina Group, Puan Nur Fatin Dato’ Seri Ibrahim, Group Executive Director Dewina Holdings Sdn. Bhd., Encik Ahmad Fahimi Dato’ Seri Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn. Bhd., Lt. Kol. (K) Dato’ Paduka Feizal Nor Nurbi, barisan pengurusan kanan syarikat serta rakan-rakan media.
Diperkenalkan dengan konsep “Cedok puas-puas, bayar RM10 je!”, Buffet RM10 by Dapur Brahim’s menawarkan pelbagai pilihan hidangan makan tengah hari yang mengenyangkan dan berpatutan untuk pelajar, kakitangan universiti, komuniti sekitar serta orang awam.
Antara hidangan yang disajikan termasuk Ayam Masak Sambal, Ayam Masak Lemak Cili Padi, Daging Tetel Asam Pedas, Ikan Kembung Masak Kari, Ikan Mata Besar Goreng Belado, bersama pelbagai pilihan lauk sampingan, sayur-sayuran, ulam-ulaman dan sambal. Buffet ini beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 11.00 pagi secara walk-in dan dine-in, mencerminkan komitmen Desatera dalam menyediakan hidangan berkualiti pada harga mampu milik kepada masyarakat.
