Jelajah Brahim’s dapat sambutan warga Singapura
JOHOR BAHRU 2 Jan. – Brahim’s Dewina Holdings Sdn. Bhd. (Dewina) optimis siri jelajah terakhirnya di negeri ini bukan sahaja mampu mempromosikan lagi rangkaian produk Brahim’s dalam kalangan warga bandar raya ini, malah juga pengunjung dari Singapura.
Pengarah Urusan Brahim’s Dewina Group of Companies, Nur Fatin Ibrahim berkata, siri jelajah yang diadakan selama tiga hari bermula baru-baru ini di Angsana Johor Bahru Mall, di sini telah mendapat sambutan menggalakkan termasuk dari warga republik berkenaan.
“Ini merupakan siri jelajah keempat dan terakhir pada tahun 2017 selepas Pulau Pinang, Subang Jaya serta Kuantan dan sambutan di setiap lokasi adalah sangat baik.
“Istimewanya di sini, kami bukan sahaja dapat memperkenalkan kesemua 41 rangkaian produk Brahim’s kepada penduduk tempatan, malah juga warga Singapura yang gemar membeli-belah di bandar raya ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Nur Fatin berkata, siri jelajah di negeri ini turut digunakan sebaiknya untuk memperkenalkan kesemua produk Brahim’s kepada warga Singapura memandangkan setakat ini hanya 12 jenis kuah masakan keluaran Brahim’s dipasarkan di negara jiran itu.
“Antara rangkaian produk Brahim’s yang kami promosikan di sini termasuk pek makanan kembara yang baharu dilancarkan pada 20 Disember lalu di ibu negara dan turut diterima baik pengguna termasuk dari Singapura.
“Kita yakin produk Brahim’s seperti sos sedia dimasak dan nasi sedia untuk dimakan ini akan diterima baik oleh pengguna termasuk ibu bapa yang bekerja di bandar raya ini dan di Singapura,” katanya.
Menurutnya, sempena jelajah itu yang merupakan sebahagian daripada aktiviti Brahim’s meraikan sambutan ulang tahun ke-30, Dewina turut menjalankan demonstrasi masakan di samping mengadakan kuiz dan cabutan bertuah kepada pengunjung.
Pihaknya bercadang untuk meneruskan siri jelajah itu pada masa akan datang kerana dilihat dapat memberi impak positif dalam pemasaran rangkaian produk Brahim’s di negara ini.
Source: Utusan Online