Brahim’s Anyone Can Cook Roadshow Johor Bahru 28-29 December 2018
JOHOR BAHRU 28 Dis. – Kumpulan Brahim’s Dewina yakin siri jelajah terakhirnya di negeri ini bagi mempromosikan rangkaian produk jenama Brahim’s mendapat sambutan menggalakkan penduduk di negeri ini dan Singapura.
Pengurus Jualan dan Pemasaran Dewina Trading Sdn. Bhd., Mohamad Fazil Othman berkata, pada siri jelajah selama tiga hari di Angsana Mall di sini bermula hari ini hingga Ahad, pihaknya akan menawarkan diskaun sehingga 40 peratus.
Menurutnya, sebanyak 45 produk makanan sedia dihidang membabitkan 500 karton akan ditawarkan diskaun kepada orang ramai.
“Pemberian potongan diskaun ini diberi hasil maklum balas dan sambutan yang baik daripada pengguna setia produk kami di negeri ini dan juga dari Singapura menerusi jelajah yang diadakan pada tahun lalu.
“Johor yang terletak bersebelahan dengan Singapura merupakan antara negeri tumpuan kami dalam mempromosikan produk keluaran Brahim’s,” katanya ketika ditemui pada promosi siri jelajah itu di sini sebentar tadi.
Tambahnya, menerusi jelajah itu juga, pihaknya mengadakan demonstrasi masakan di samping menjalankan aktiviti bersama-sama keluarga dan cabutan bertuah kepada pengunjung di pusat beli-belah itu.
Mohamad Fazil berkata, pada siri jelajah itu, mereka turut mempromosikan tiga perasa baharu kategori nasi iaitu Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Pedas dan Nasi Goreng Kicap dan pek kembara Self Heating, masing-masing dilancarkan pada Julai dan November lalu. – UTUSAN ONLINE