Panglima Angkatan Tentera Santuni Warga Kerja Dalam Majlis Iftar Ramadan
BANGI, 8 Mac 2026 – Suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan jelas terpancar apabila Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman, bersama isteri beliau Datin Hajah Siti Juana binti Md Ibrahim, menghadiri Majlis Iftar Ramadan bersama warga kerja dan keluarga pejabat Angkatan Tentera Malaysia yang berlangsung di Cafe Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Majlis yang dihadiri seramai 159 orang warga kerja pejabat Panglima Angkatan Tentera bersama keluarga ini menjadi platform bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kepimpinan dan warga kerja pejabat Angkatan Tentera Malaysia dalam suasana santai dan harmoni sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Sepanjang majlis berlangsung, Panglima Angkatan Tentera turut meluangkan masa beramah mesra bersama warga kerja serta keluarga yang hadir, sekali gus mencerminkan hubungan akrab dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja pejabat Panglima Angkatan Tentera.
Majlis turut diserikan dengan beberapa pengisian menarik antaranya acara serahan kurma, sambutan ulang tahun kelahiran serta penyampaian duit raya kepada anak-anak warga kerja pejabat Panglima Angkatan Tentera, yang menambahkan lagi keceriaan dalam kalangan hadirin.
Majlis juga turut diteruskan dengan Solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Terawih secara berjemaah, yang memberi peluang kepada warga kerja dan keluarga untuk bersama-sama mengimarahkan Ramadan dalam suasana penuh keberkatan.
Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja menjadi medan untuk berbuka puasa bersama, malah turut memperkukuhkan nilai kebersamaan, penghargaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga kerja pejabat Panglima Angkatan Tentera.
