Brahim’s Dewina Anjur Majlis Tahlil & Sambutan Aidilfitri 2025
Bandar Baru Bangi, 17 April 2025 – Kumpulan Syarikat Brahim’s Dewina telah mengadakan Majlis Tahlil & Sambutan Aidilfitri 2025 di Hotel Tenera pagi ini, menghimpunkan warga kerja serta para jemputan dalam suasana penuh kesyukuran, keinsafan dan silaturahim.
YBhg. Dato’ Seri Ibrahim Haji Ahmad, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, dalam ucapan beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir atas semangat ukhuwah dan sokongan yang sentiasa diberikan kepada syarikat.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam suasana yang cukup bermakna ini. Majlis yang pada asalnya dirancang sebagai sambutan Syawal kini diberi nafas yang lebih mendalam dengan elemen tahlil dan doa,” ujar beliau.
Tiga hari sebelum majlis ini berlangsung, negara telah kehilangan seorang negarawan ulung, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, yang juga merupakan abang sulung kepada Dato’ Seri Ibrahim. Dalam nada penuh emosi, beliau memohon agar hadirin menyedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Dalam kesempatan tersebut, Dato’ Seri Ibrahim turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin, menyeru agar bulan Syawal dijadikan ruang memperkukuhkan ikatan sesama warga kerja.
“Inilah masanya kita menyatukan hati — sebagai satu keluarga besar di bawah naungan Brahim’s Dewina. Saya juga amat bersyukur kerana kita dapat berkongsi majlis ini bersama anak-anak Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha. Kehadiran mereka amat menyentuh hati dan mengingatkan kita tentang nilai kasih sayang, keprihatinan dan rasa syukur dalam kehidupan,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja atas usaha berterusan dalam mengukuhkan jenama dan legasi Brahim’s Dewina.
“Moga majlis hari ini menjadi asbab kebaikan buat kita semua, dunia dan akhirat,” ujar beliau menutup bicara.


